Rabu, 3 November 2010

ADK 6747 Dalam Kenangan

Share Rabu, 3 November 2010
Motor Honda EX-5 second hand yang telah dibeli oleh saya pada tahun 2002, kini telah bertukar tangan kepada pemilik yang baru.

Masih teringat ketika saya sangat teringin untuk memiliki sebuah motosikal sendiri selepas menerima tunggakan biasiswa JPA yang agak banyak pada tahun 2002. Saya meninjau-ninjau di kedai-kedai motor di Parit Buntar dengan menaiki basikal mini. Memang niat nak cari sebuah motosikal terpakai yang agak-agak elok untuk dibeli, kerana pada waktu itu saya hampir tamat pengajian di Kampus Asasi Pengajian Islam Nilam Puri, dan akan bertukar ke Main Camp Universiti Malaya Kuala Lumpur. Oleh yang demikian saya terfikir, kalau dah ada motor senang saya nak bergerak nanti.

Setelah memaklumkan kepada abah, dan membawa abah ke kedai motor tersebut, dan abah pun test ride, puas hati..motor itu pun dibeli dengan pendahuluan separuh harga cash, dan abah setuju sambung tiap-tiap bulan selama beberapa kali bayaran.

Masih teringat...

  • Taukey kedai motor bagitau.."lu misti isi minyak dulu tau, ini motor ada sikit minyak saja"..Selepas isi minyak di Shell, kerasa seronok sangat, saya lupa nak tutup penutup tangki.Sampai rumah baru sedar..hehe.
  • Sewaktu saya di Nilam Puri, abah yang pakai moto ni. Tiap-tiap hari saya merindui motor, dan tak sabar nak balik bila cuti.
  • Suatu masa, saya berurusan dengan PTPTN di KL, dan balik dari KL ke Perak. Sampai awal pagi, tak sabar nak tunggu pagi untuk naik moto. Kesudahnya, saya telah menunggang motosikal itu di sebuah kawasan perumahan dalam pembinaan, dan terlanggar kabel sebesar lengan, lalu tergolek dan motor pun rosak di sana sini. Pulang ke rumah dengan luka-luka, kena marah dengan abah sebelum dibawa ke klinik swasta. Abah tengok motor yang dah senget tu, siap cakap nak jual.Tapi tak jual pun..dia jugak yang bikin kasi baik semula. Parut eksiden masih ada di bahu, siku, dan pinggang saya sampai sekarang.
  • Kadang-kadang saya membawa diri menaiki motor ini ke tepian pantai yang dikenali sebagai Ban Pecah di Tanjung Piandang..pemandangannya sangat indah.
  • Bila balik cuti, rajin saja nak ke rumah arwah nenek di Bagan Serai. Bila sampai di rumah nenek, dia akan jenguk dari tingkap seraya berkata dalam loghat Banjar.. "uhhh kau leh Asrapai.." (maksudnya, oh, ngkau ye Asrap..). Balik rumah nanti nenek bagi telur ayam kampung.
  • Pernah naik motor ni dengan mak dari Parit Buntar ke Taiping, sebab nak melawat adik di sebuah sekolah berasrama di sana. Time nak ambik kona baring je, badan mak jadi keras...hehehe.
  • Motor ni banyak kali naik keretapi untuk dibawa ke Kuala Lumpur. Waktu cuti balik semula ke Perak.
  • Masa di KL, saya banyak belajar jalanraya dan lebuhraya di KL naik motor ni. Dulu siap konvoi ramai-ramai dari UM ke Kajang, makan sate..bontot naik kematu takda hal punya. Sekarang nak pi kedai pun naik kereta, maklumlah bontot dah besar..hehehe.
  • Ehem..ehem, motor ADK ni lah saya lenjan dari KL ke Putrajaya, nak ngorat wife saya.hehe..jangan marah..
  • Pernah tak boncengkan wife (sebelum kahwin) naik motor ni yek? hehehe..nak ingat jap..
  • Masa saya kerja sambilan di Putrajaya, kalau nak balik kampung, motor ni park di Hentian Duta, senang nak balik semula ke Putrajaya.
  • Motor ni berhijrah ke Tanjung Malim selama 2 minggu lebih, sebab saya masuk UPSI untuk buat Diploma. Tapi saya quit sebab dapat kerja di JB, dan semenjak itu motor ini dijaga dengan rapi oleh abah..
  • Banyak lagi kenangan bersamanya. Selepas ada anak, saya pernah menunggang bersama wife dan anak, bertiga..syoknya...
  • 8 tahun bersama ADK 6747..terima kasih dan selamat tinggal..Pemilik baru, jaga baik-baik naa...

0 Ulasan

Isnin, 21 Jun 2010

Selamat Hari Bapa, Abah..

Share Isnin, 21 Jun 2010



Lagu ini tiada kaitan dengan posting ini. Cuma saya suka dengar saja..

Sebenarnya..ya banyak cerita sebenar-benarnya yang saya nak coretkan di sini. Cuma batasan masa yang kadang-kadang tidak mengizinkan. Mungkin ada yang perasan saya dah tak macam dulu. Kalau dulu saya seorang yang ceria, suka berjenaka, dan suka memberi respons yang biasanya buat orang ketawa, tapi sekarang saya kurangkan semua itu.

Kehidupan sekarang menjadi suram, dan kadangkala diselubungi kemurungan. Saya cuba mencari kekuatan, semenjak abah jatuh sakit, saya cuba positifkan diri. Tapi naluri seorang anak kadang-kadang tak mampu dan tak tercapai untuk mengalihkan perhatian. Semenjak abah sakit, saya jadi tak keruan. Saya seringkali bertanyakan khabar abah di Perak. Apabila mak cakap abah ok, saya tanya mak sekali lagi, adakah mak sekadar ingin menyedapkan dan menenangkan hati saya, maka mak mengaturkan kebijaksanaannya di situ? Saya percayakan mak saya sayangkan abah.

Beberapa minggu lepas, abah bagaikan hilangkan semangat, mungkin kerana saya dan mak banyak menangis di sebelah abah. Dalam keadaan ini, saya ucap tahniah kepada Yong (kakak saya) dan Apat (adik saya), kerana mereka berdua sangat kuat, sehingga seboleh-bolehnya mereka tak tumpahkan air mata di depan abah yang sakit. Cuma Apat, saya nampak merah matanya di petang hari abah discharge dari KPJ Ipoh.

Minggu berikutnya saya perlu hadir kursus BTN, dengan berat hati. Berbelah bagi, abah penting, mak, isteri, anak adik beradik semua berjauhan. Alangkah kerdilnya saya di bumi orang. Lantaran itu saya merayu kepada Tuan Pengarah supaya dapatlah kiranya saya berpindah ke Selangor supaya saya tidak terlalu jauh berada di JB. Emel itu saya cc kepada isteri saya, dan emel itu juga yang telah menumpahkan air matanya juga, even yang sakit bukan bapa kandungnya. Mungkin terkesan dengan pengalaman arwah bapanya sakit dahulu.

Sehari sebelum saya ke BTN, abah call, dia minta saya tak payah pergi BTN, tolong ambil dia untuk pergi berubat di Horpital Mata Tun Hussein Onn, PJ. Ya Allah, saya berhadapan dengan pilihan yang besar. Waktu itu, saya cuma mampu call Yong, saya tak tahu buat pilihan.

Kemudian baru saya call mak, mak cakap jangan tak pergi. Mak jaga abah. Baru sekejap tadi Malaysia Airliness call Apat, mintak dia datang ke Subang untuk sesi penerangan. Bermakna tak lama lagi Apat pun akan mula kerja. Waktu tu abah tenang sekejap, dia redha saya ke BTN, ini untuk anak-anak. Air mata saya jatuh di atas borang penangguhan kursus yang telah lengkap diisi dan hanya menunggu untuk difaks ke ibu pejabat BTN Putrajaya.

Malam, saya call abah, saya mintak ampun, mintak maaf. Abah cakap takpa, abah ampun semua kesalahan anak-anak. Doakan abah sihat. Alhamdulillah, saya selesai BTN dengan ahli keluarga dan abah saya dipelihara oleh Allah s.w.t.

Minggu lepas baru saya berpeluang untuk pulang ke Perak. Keadaan abah agak lebih baik. Abah dah boleh melihat sejauh 5 ke 6 meter walaupun kurang jelas. Abah pun dah boleh berjalan sendiri. Saya bagi abah makan ubat Transfer Factor Adv, ada nampak kesannya. Ubat itu penting untuk buang kuman dalam badan abah. Selagi kuman tu tak keluar, selagi tu penyakit abah belum sembuh sepenuhnya.

20 hb, betul-betul tarikh Hari Bapa. Sambil berborak-borak dengan ahli keluarga, dan cucu abah iaitu anak saya, saya ucapkan kepada abah, dengan nada yang ceria, "Selamat Hari Atuk".. Semoga abah cepat sembuh sepenuhnya.

0 Ulasan

Rabu, 19 Mei 2010

Akta Pembahagian 1958

Share Rabu, 19 Mei 2010
Assalamualaikum, salam sejahtera.

Sangat lama saya tidak update laman blog ini dengan posting terbaru baik yang berkaitan dengan hal-hal pusaka atau selainnya. Sepanjang minggu yang lalu, saya kurang berada di pejabat kerana bertugas di luar, iaitu pada 11 dan 12 hb yang lepas. Pada 14 hb pula saya bercuti rehat, al maklum saya masih berulang setiap minggu ke Putarajaya memandangkan keadaan masih belum membenarkan saya berpindah ke sana. Oleh yang demikian, masa bersama keluarga di hujung perlu ditambah dengan mengambil cuti rehat. Bagi saya, keluarga adalah nyawa saya, sebab itu saya tak faham sikap orang yang meletakkan keluarganya di angka belakang.

Ok..ok, terlepas tajuk nampaknya.

Seperti yang saya janjikan dalam posting yang lepas, berkenaan dengan Akta Pembahagian 1958, hari ini saya akan berkongsi sedikit sebanyak yang saya fahami tentang intipati akta ini. Sebelum itu mari kita rujuk petikan daripada Seksyen 12 (7) Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1958 yang menyebut di dalam Bahasa Inggeris:

"The Collector shall ascertain, in such manner as may be most appropriate, the law applicable to the devolution of the estate of the deceased, and shall decide who in accordance with that law are the beneficiaries and the proportions of their respective shares and interests."

Petikan daripada seksyen ini telah memberi penjelasan berkaitan tugasan Pemungut untuk menentukan undang-undang yang paling sesuai digunapakai dalam pelupusan harta pusaka simati, dan menentukan berdasarkan undang-undang tersebut siapakah benefisiari dan berapakah bahagian syer yang akan diterima oleh setiap daripada mereka daripada harta pusaka simati.

Adapun bagi orang-orang Islam, sudah maklum bahawa undang-undang yang digunapakai adalah hukum faraid, hibah dan wasiat (jika ada) kerana ketetapan ini telah ditentukan di dalam Kitab Suci Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Namun, bagi mereka yang bukan beragama Islam, suatu undang-undang telah digubal iaitu Akta Pembahagian 1958 (Akta 300), yang menentukan pembahagian harta pusaka simati bukan Islam berdasarkan kepada senarai waris yang terdekat kepada simati itu. Sudah pasti bahawa pembahagian di dalam Akta 300 sangat jauh berbeza daripada hukum faraid. Namun jika diteliti, kita akan dapat melihat bahawa penyusunan waris-waris terdekat semacam suatu modifikasi daripada sistem yang telah wujud di dalam hukum faraid Islam yang telah disyariatkan lebih 1400 tahun dahulu.

Baik, tanpa menulis panjang lagi, saya suka untuk menampal imej teks Akta 300 yang telah saya scan, buat rujukan pembaca sekalian. Mungkin isi kandungan teks tersebut agak sukar difahami. Oleh yang demikian, suatu jadual ringkasan pembahagian akan menurutinya.

















Walaubagaimanapun, pada tahun 1997 suatu pindaan telah dibuat pada Seksyen 6 Akta 300. Ini dilakukan atas desakan daripada kebanyakan NGO wanita di Malaysia sebelum waktu itu yang mendapati bahawa pembahagian harta pusaka simati bukan Islam berdasarkan kepada Akta 300 adalah lebih cenderung kepada pihak lelaki. Berikut adalah teks PDF pindaan Akta 300 yang dikenali sebagai Akta A1004.

Sekian buat kali ini. Terima kasih. Wassalam.


0 Ulasan

Jumaat, 26 Mac 2010

My Little "aboo"

Share Jumaat, 26 Mac 2010

Faiz Afnan Bin Muhamad Ashraf sewaktu demam pada 22 Feb yang lalu.


0 Ulasan

Isnin, 1 Februari 2010

Faiz Afnan Bin Muhamad Ashraf - 060909

Share Isnin, 1 Februari 2010



Kini kau telah usia 5 bulan..


4 Ulasan