Isnin, 21 Jun 2010

Selamat Hari Bapa, Abah..

Share Isnin, 21 Jun 2010



Lagu ini tiada kaitan dengan posting ini. Cuma saya suka dengar saja..

Sebenarnya..ya banyak cerita sebenar-benarnya yang saya nak coretkan di sini. Cuma batasan masa yang kadang-kadang tidak mengizinkan. Mungkin ada yang perasan saya dah tak macam dulu. Kalau dulu saya seorang yang ceria, suka berjenaka, dan suka memberi respons yang biasanya buat orang ketawa, tapi sekarang saya kurangkan semua itu.

Kehidupan sekarang menjadi suram, dan kadangkala diselubungi kemurungan. Saya cuba mencari kekuatan, semenjak abah jatuh sakit, saya cuba positifkan diri. Tapi naluri seorang anak kadang-kadang tak mampu dan tak tercapai untuk mengalihkan perhatian. Semenjak abah sakit, saya jadi tak keruan. Saya seringkali bertanyakan khabar abah di Perak. Apabila mak cakap abah ok, saya tanya mak sekali lagi, adakah mak sekadar ingin menyedapkan dan menenangkan hati saya, maka mak mengaturkan kebijaksanaannya di situ? Saya percayakan mak saya sayangkan abah.

Beberapa minggu lepas, abah bagaikan hilangkan semangat, mungkin kerana saya dan mak banyak menangis di sebelah abah. Dalam keadaan ini, saya ucap tahniah kepada Yong (kakak saya) dan Apat (adik saya), kerana mereka berdua sangat kuat, sehingga seboleh-bolehnya mereka tak tumpahkan air mata di depan abah yang sakit. Cuma Apat, saya nampak merah matanya di petang hari abah discharge dari KPJ Ipoh.

Minggu berikutnya saya perlu hadir kursus BTN, dengan berat hati. Berbelah bagi, abah penting, mak, isteri, anak adik beradik semua berjauhan. Alangkah kerdilnya saya di bumi orang. Lantaran itu saya merayu kepada Tuan Pengarah supaya dapatlah kiranya saya berpindah ke Selangor supaya saya tidak terlalu jauh berada di JB. Emel itu saya cc kepada isteri saya, dan emel itu juga yang telah menumpahkan air matanya juga, even yang sakit bukan bapa kandungnya. Mungkin terkesan dengan pengalaman arwah bapanya sakit dahulu.

Sehari sebelum saya ke BTN, abah call, dia minta saya tak payah pergi BTN, tolong ambil dia untuk pergi berubat di Horpital Mata Tun Hussein Onn, PJ. Ya Allah, saya berhadapan dengan pilihan yang besar. Waktu itu, saya cuma mampu call Yong, saya tak tahu buat pilihan.

Kemudian baru saya call mak, mak cakap jangan tak pergi. Mak jaga abah. Baru sekejap tadi Malaysia Airliness call Apat, mintak dia datang ke Subang untuk sesi penerangan. Bermakna tak lama lagi Apat pun akan mula kerja. Waktu tu abah tenang sekejap, dia redha saya ke BTN, ini untuk anak-anak. Air mata saya jatuh di atas borang penangguhan kursus yang telah lengkap diisi dan hanya menunggu untuk difaks ke ibu pejabat BTN Putrajaya.

Malam, saya call abah, saya mintak ampun, mintak maaf. Abah cakap takpa, abah ampun semua kesalahan anak-anak. Doakan abah sihat. Alhamdulillah, saya selesai BTN dengan ahli keluarga dan abah saya dipelihara oleh Allah s.w.t.

Minggu lepas baru saya berpeluang untuk pulang ke Perak. Keadaan abah agak lebih baik. Abah dah boleh melihat sejauh 5 ke 6 meter walaupun kurang jelas. Abah pun dah boleh berjalan sendiri. Saya bagi abah makan ubat Transfer Factor Adv, ada nampak kesannya. Ubat itu penting untuk buang kuman dalam badan abah. Selagi kuman tu tak keluar, selagi tu penyakit abah belum sembuh sepenuhnya.

20 hb, betul-betul tarikh Hari Bapa. Sambil berborak-borak dengan ahli keluarga, dan cucu abah iaitu anak saya, saya ucapkan kepada abah, dengan nada yang ceria, "Selamat Hari Atuk".. Semoga abah cepat sembuh sepenuhnya.

0 Ulasan:

Catat Ulasan